Saturday, February 28, 2009

Betapa Seronoknya Hidup Di Kampung

(Foto: Ini pohon pinang. Anak-anak bandar tidak kenal ini pokok pinang.
Lebih-lebih lagi mereka tidak tahu yang upih pinang
boleh dibuat timba untuk mengambil air daripada perigi.
Buah pinang boleh dimakan bersama sirih dan kapur
untuk memberi tenaga tambahan.)


Melihat pokok pinang terkenang saya pada kampung laman. Saya bukanlah orang bandar, tapi saya berhijrah ke bandar untuk mencari kehidupan. Kehidupan di bandar adalah satu situasi yang menyesak fikiran dengan "kejaran".

Siang mengejar malam, malam mengejar siang, mencari kekayaan yang tidak pernah sudah kerana "tamak", mencari nama, pangkat, harta, mencari makan, hiburan, kuasa dan mencari segala-galanya.

Bila kehidupan yang sering mengejar ini, akhirnya usia berlalu tanpa di sedari. Saya tidak mahu perkara ini memboloti diri saya. Saya mahu mencari sebuah kedamaian di hati, di fikiran dan dalam sebuah kehidupan.

Betapa nikmatnya suasana di kampung...

Sebelum subuh, kedengaran kokokan ayam sahut bersahut. Fajar menyinsing di sebalik bukit mengintai sinarnya mengeringkan titisan embun pagi. Manusia pun betebaran mencari rezeki dengan tabah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyara keluarga. Bila mentari mula menegak maka masa untuk merehatkan diri serta menunaikan ibadah Zohor berjemaah.

Waktu makan pula di rumah bersama anak dan isteri dengan hidangan yang di masak oleh isteri dan anak-anak. Bila waktu petang keluarga akan sama-sama turun ke laman rumah menyiram dan membelai bunga serta membakar unggun. Asap berkepul- kepul naik ke udara. Inilah senario kampung yang sangat dirindui.

No comments:

Post a Comment