Foto : Ini wajah-wajah sugul ibu yang dilanda musibah kebakaran di Kg. Pisangan, Ciputat, Jakarta.
Ibu Yani
Saya mengenali Ibu Yani 3 tahun yang lalu bila anakanda saya, Ummu Solehah telah memberitahu bahawa ada sebuah perkampungan orang miskin di Desa Pisangan, Ciputat, Jakarta. Perkampungan ini dihuni oleh 100% orang Islam yang berkerja sebagai pengutip sampah, pembuat bantal dan penjual soto. Tapi kebanyakannya ialah pengutip sampah yang dipanggil "pemulung."
Dari sumber yang Ummu Solehah beritahu, semua anak-anak di perkampungan ini tidak bersekolah dan turut serta dengan ibu bapanya mencari rezeki sebagai pengutip sampah. Maka Ummu Solehah telah menubuhkan satu kumpulan yang terdiri dari teman-teman mahasiswanya di Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah untuk menjalankan tugas sukarelawan mendidik anak-anak di Desa Pisangan itu. Mereka telah menemui Ibu Yani. Permohonan mahasiswa untuk mengajar anak-anak di Kampung Pisangan telah disambut baik oleh Ibu Yani.
Pada peringkat awal Ummu Solehah telah menghantar proposal kepada saya untuk membiayai kelas tersebut dengan makanan tambahan dan elaun mengajar. Selama 6 bulan pihak kami membiayainya sekadar yang mampu dan akhirnya kami telah putus dana untuk membantu mereka secara terus menerus.
Sebuah Surau
Kami tidak dapat lagi menyumbang dan akhirnya Ummu Solehah dan teman-temannya telah membawa haluan masing-masing tapi saya telah berpesan pada Ummu Solehah walau apa yang terjadi Ummu mesti terus membantu Ibu Yani dan anak-anak di yayasan itu kerana bantuan itu bukan dengan wang ringgit saja.
Saya telah berjanji dengan Ibu Yani untuk membangunkan sebuah surau. Akhirnya dari sumbangan teman-teman di Malaysia saya telah dapat menghimpun dana sebanyak RM 15,000. Akhirnya tertegaklah sebuah surau yang sehingga ke hari ini surau ini tidak pernah putus-putus menjadi tempat orang mengerjakan solat dan tempat pengajian kaum ibu.
Saya berhasrat untuk membesarkan surau itu dengan kosnya sebanyak RM25,000. Ini adalah memandangkan surau yang ada sekarang ini terlalu sempit dengan bilangan penduduk dan ramainya orang yang solat berjemaah. Semoga usaha saya ini mendapat sokongan dari orang ramai.
Bencana Sebagai Ujian Allah
Pada bulan Ramadan baru-baru ini satu bencana kebakaran telah menimpa Desa Pisangan. Habis semuanya tanpa bersisa walau pun sedikit dan sekali lagi saya telah dihubungi oleh Ummu Solehah untuk memohon bantuan Ramadan untuk mereka yang berada dalam musibah. Kami telah membantu seadanya. Sebelum lebaran pula kami telah menyalurkan dana Aidil Fitri untuk mereka ini.
Di sini bukan saya ingin memberi pandangan buat para pimpinan dan juga individu yang mampu membantu. Kenapakah di Desa Pisangan yang di dalam kepungan orang yang mampu membantu hanya memekak telinga dan membutakan mata saja?
Dan kenapa Ibu Yani yang menebalkan mukanya untuk membantu mereka ini dengan meminta-minta untuk dibantu? Apakah hati-hati orang sekeliling sudah gelap untuk melihat satu kesusahan? Sepatutnya tugas membantu ini adalah tugas orang yang mampu dan berjawatan, bukan tugas Ibu Yani yang hanya seorang sukarelawan dan bukan seorang jutawan.
Harta Kita Itu Bukan Semestinya Hak Kita
Baru-baru ini bila saya dibawa oleh anak-anak saya pergi ke pusat membeli belah di Kota Jakarta dan bila melihat rumah-rumah yang tersergam indah maka terfikirlah di benak saya bahawa inilah insan yang hanyut oleh harta dunia dan tidak mampu untuk bertindak bila ada hak orang lain dalam hartanya. Maka tunggulah musibah yang akan diturunkan oleh Allah dan melumat-lumatkan harta dan seisinya nanti.
Dalam rintihan Ibu Yani, "Ada pemimpin desa datang menjengok. Tapi tak dihulurnya walau 1000 rupiah pun. Mereka hanya berkata, bersabarlah, tunggulah nanti akan dibantu." Inilah ungkapan pemimpin yang mencari undi pada si miskin setelah dapat jawatan.
Buat Ibu Yani saya akan tetap berdiri di belakang Ibu untuk membantu anak bangsa Ibu Yani iaitu bangsa Indonesia. Walaupun kita berlainan negara tapi kita adalah insan yang sangat daif dan hina di sisi Allah. Manusia ini sama sahaja. Tiada kasta dan harta bukanlah darjat yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment