Sunday, May 3, 2009

Syafiqah

Foto: Saudara lelaki Syafiqah

"Apa khabar Rozita?" Saya menyapa seorang perempuan orang Asli yang saya kenali tiga tahun lalu di Kg. Merbau, Maran, Pahang.

"Baik." Jawabnya rengkas sambil tanganya memegang seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun setengah.

"Kenapa lama tak datang rumah?" Tanya Rozita pada saya.

"Bukan tak datang. Saya selalu datang ke kampung ni, tapi tak sempat nak singgah." Jawab saya.

Sebenarnya setahun yang lalu saya ada rasa tidak senang dengan Rozita. Sebabnya dulu dia pernah berjanji dengan sebenar-benar janji mahu masuk semula ke agama Islam bersama empat orang anaknya. Tapi sehari sebelum saya bertolak dari KL untuk mengambilnya di Kg. Merbau untuk program pengislaman beramai-ramai di Kuantan itu dia telah mungkir janji.

Saudara maranya telah menalipun saya dari Kg. Merbau, bahawa Rozita ini tidak dibenarkan untuk memeluk Islam dengan alasan Rozita ini di bawah jagaannya. Dan saya dimarahi serta diugut dengan berbagai-bagai perkataan. Akhirnya saya ambil jalan untuk menangguhkan sementara untuk membawa Rozita ke program tersebut.

Dalam program Hari Keluarga Bersama Keluarga Orang Asli Kg. Merbau 1-3 Mei yang lalu, saya bertemu Rozita. Saya lihat wajah Rozita cengkung sahaja. Badanya kurus. Sepanjang program 3 hari itu, selama itulah dia duduk sama-sama dengan saya dan menceritakan semua masalahnya. Saya terkejut dan terharu musibah yang menimpa dirinya bertalu-talu. Masyarakat sekitarnya hanya mampu memandang.

Seorang isteri diceraikan suami. Ditinggalkan dengan anak yang kecil dan ramai (8 orang) tanpa sebarang nafkah. Dan akhir sekali Rozita terima satu kejutan dan dia memberitahu saya dengan linangan air mata. Betapa kejamnya suami Rozita, memalitkan hati dan perasaan Rozita dengan beban dan betapa kejamnya ayah Syafiqah memberi satu panahan jahanam pada jasad Syafiqah, apakah ini manusia?

Rentetan saya (Ibu angkat Syafiqah & Rozita):

Rozita baru dua bulan berpisah dari suaminya dengan menjaga lapan orang anak yg masih kecil iaitu Syafiqah pada waktu itu berusia empat bulan. Dan saya telah mengambil Syafiqah ini sebagai anak angkat saya. Semasa dari dalam kandungan lagi saya telah memberitau Rozita kalau lahir sahaja anaknya itu saya mahu jadikan anaknya sebagai anak angkat. Dia setuju.

Setelah dia lahir saya sering menziarahi Syafiqah dan melayani serta menyediakan keperluannya. Setelah tujuh bulan Syafiqah lahir Rozita telah berpisah dgn suaminya. Suaminya telah mengambil Syafiqah untuk dijaga bersama dengan isteri barunya di Ulu Lepar.

Foto: Sewaktu Syafiqah berusia 3 bulan, saya ziarahnya.

Selepas daripada itu saya tidak lagi bertemu Syafiqah. Dan di waktu itu jugalah Rozita telah dirundung sedih dengan penyaraan anak-anaknya.

Rozita tidak dapat masuk ke hutan seperti orang lain sebab dia perlu menjaga anak-anaknya iaitu yang berusia lima belas hingga dua tahun lebih (abang Syafiqah). Rozita hanya mampu meraut rotan dengan pendapatan tidak sampai RM 10 sehari sebab peraih mengambil rotan itu dengan harga 4 sen sebatang.

Dengan pendapat itu Rozita memberi makan anak-anaknya dan dia duduk di pondok yang dibina olehnya sendiri dengan bantuan anak-anaknya yang kecil itu. Tiangnya daripada pokok hutan dan dindingnya daripada daun rumbia, tanpa bilik dan ruang dapur.

Tapi kehidupan begini tidaklah menyusahkan Rozita, kerana dia sangat tabah dan sabar. Tapi ujian itu datang lagi pada bulan Disember 2008, bekas suami Rozita telah memberitahu bahawa Syafiqah telah sakit kuat dan berada di hospital.

Rozita telah pergi ke hospital dan dia melihat keadaan Syafiqah sangat menyedihkan. Tengkok Syafiqah telah lembik. Seluruh kulit di badanya merah-merah dan kesan luka-luka yang bercalar-balar. Kemaluannya bengkak. Doktor melaporkan Syafiqah tidak sakit. Tapi ada kesan seperti didera pada tubuhnya. Selama dua hari Syafiqah bertarung dengan maut.

Pada malam ketiga pada jam tiga pagi tiba-tiba Syafiqah menangis selama tiga minit. Rozita memberi susu, tapi Syafiqah sudah tidak mahu lagi mengisapnya. Dengan tangisan yang serak-serak menahan kesakitan akhirnya Syafiqah menghembuskan nafasnya yang terakhir di depan pandangan Rozita.

Itu derita anak angkat saya kaum peribumi. Saya tabah dengan peristiwa ini, tapi saya benci dengan kekejaman itu.

No comments:

Post a Comment