Thursday, May 21, 2009

LAYAR

Foto: Ini adalah sebahagian daripada generasi ketiga, keempat dan kelima waris Lebai Kassim yang sentiasa bersidang apabila mahu mengadakan kenduri-kendara di kampung mereka di Titian Bintangor, Rembau, Negeri Sembilan.

Apabila saya balik ke kampung, mak selalu cerita berbagai kisah dari dia belum lahir hinggalah ke kisah yang saya rasa antara benar dan tidak benar. Bukan tidak benar macam mana.

Contohnya cerita tujuh ekor jin-jin harimau belaan saka Tok Abas yang bernama Jongge Gila, Si Tepok, Si Lambe dan empat ekor lagi yang susah saya nak ingat namanya, tempat harimau terjun di Titian Merbau, penunggu pokok nibung belakang rumah mak (dua orang perempuan berambut panjang) dan meminjam pinggan mangkuk di gua di Batu Berdinding

Yang lain itu benar sebab ada buktinya. Mak akan bercerita dengan penuh semangat dan kadang kala mak akan menyanyikan lagu-lagu yang berkaitan dengan kisah tersebut. Longhat mak adalah dalam Negeri Sembilan yang pekat, saya faham apa yang mak cakap, tapi saya jarang-jarang membalas atau bertanya balik kerana saya takut tidak kena caranya.

Antara kisah yang paling saya suka ialah kisah seorang dari keturunan mak yang bernama "Lebai Kasim". Lebai Kasim ialah datuk mak (salasilahnya sendirilah tu). Kalau di peringkat saya ini, saya akan panggil Lebai Kasim "nenek". Dia ialah seorang lelaki yang datang dari tanah seberang iaitu Indonesia, orang Minangkabau. Dia berkahwin dengan seorang gadis tempatan bernama Embam.

Menurut kata mak, Embam ini ialah wanita yang paling cantik di kampungnya. Kulitnya putih kuning, badannya kecil molek, mukanya bujur sirih dan tumitnya kalau berjalan nampak gemercik darahnya. Itulah kecantikan isteri Lebai Kasim.

Mereka di kurniakan tiga orang anak bernama Yusof (dipanggil Yusof Kelantan), Abas (dipanggil Dukun Abas) dan Enon (dipangiil Wan Enon). Mak lahir dari hasil perkahwinan Enon dengan Hasbullah (dipanggil Molah Imam). Mak ialah anak tunggal.

Di dalam sejarahnya Lebai Kasim dia merupakan seorang ulama yang datang dari Indonesia, membuka sebuah madrasah dan sebuah surau tempat dia beribadat di cabang Sungai Linggi dengan anaknya Sungai Rembau dan Sungai Siput.

Lokasi itu betul-betul di Pusat Permainan Kanak-Kanak di pekan Lubuk China, sebelah Negeri Sembulan sekarang. Bilangan anak muridnya ramai. Kesolehan Lebai Kasim yang membuat saya teruja ialah:

1 Dia tahu bila dia mahu meninggal dunia.
2 Dia mampu bergelut dengan buaya dari subuh (waktu dia mahu mengambil wuduk untuk solat Subuh), apabila tiba-tiba seekor buaya datang dan melibaskan ekornya sehinggalah dia jatuh ke dalam sungai. Lebai Kassim bergelut hingga ke tengah hari, sehingga dia melemparkan serbannya ke tengah sungai dan buaya itu pergi mengejar serbannya.)
3 Dia menghamparkan kain serbannya sebagai layar untuk menyeberangi lautan luas untuk balik ke negerinya di Indonesia.
4 Hujung jarinya seperti lampu suluh, meyuluh kegelapan bila dia berjalan pada waktu malam.

Foto : Inilah generasi keempat pewaris "Lebai Kasim" yang akan melayarkan bahtera dengan ilmu agamanya menggunakan layar ilmu untuk merentasi peta dunia dengan amal, ilmu dan iman seperti Ibnu Battuta. Dari kiri: Nurdina (Putrajaya), Muhammad Suhail (USM), Muhamad Salman al-Farisi (Kuantan), Muhammad Syafiq (Kanada).

Lebai Kasim berkahwin pada ketika usianya telah lanjut. Dia merupakan seorang lelaki yang tegas, garang, berilmu, kuat beribadah dan berhemah tinggi. Ramai cucu cicit Lebai Kasim ini jadi orang baik-baik dan orang yang beragama.

Sekarang saya sedang membikin sebuah cerita sejarah yang menarik tentang lelaki yang bernama Lebai Kasim ini. Saya akan terjemahkan dalam bentuk novel. Tapi saya belum jumpa lagi sejarah awal kedatangan Lebai Kasim ini.

Apakah kedatanganya ini sama dengan sejarah kedatangan Sheikh Ahmad Maftum Majnun iaitu kira-kira 150 tahun dulu yang menyibarkan Islam di Nusantara ini? Sehingga Lebai Kasim boleh membuka tempat pengajian di pinggir Sungai Linggi di Lubok China.

Saya akan pastikan sejarah ini saya korek sehingga bertemu dengan lelaki yang menarik ini dalam pertemuan kami dalam novel "LAYAR" insya-Allah.

Foto : Seorang pelayar yang hebat mestilah mempunyai minda yang tajam, fizikal yang mantap, tegas, hebat, berilmu dan berwawasan. Muhammad Ammar Yassar dari generasi keempat waris Lebai Kasim di Sungai Pahang - lagak seorang pelayar.

No comments:

Post a Comment