Wednesday, January 12, 2011

Harapkan Kekayaan dan Takutkan Kefakiran.


Daripada Abu Hurairah katanya, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Wahai Rasulullah, manakah sedekah yang lebih utama? Baginda bersabda: "Kamu bersedekah dalam keadaan kamu sihat dan tamak, mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Jangan tangguhkan sehingga nyawa di halkum lalu kamu katakan, ini untuk si fulan, itu untuk si anu, sedangkan ia sudah menjadi hak si fulan itu. (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Sedekah" Antara matlamat utamanya ialah mensucikan hati dari sifat bakhil dan membersihkan harta daripada terambil hak-hak orang lain.

Manakala matlamat sedekah dengan merujuk kepada penerima ialah membersihkan hati mereka dari kedengkian terhadap orang kaya dan membantu kehidupan mereka yang susah dan tidak berada.

Hadis di atas lebih merujuk kepada mensucikan hati pemberi sedekah dari sifat bakhil. Nasihat dan panduan daripada Rasulullah s.a.w. supaya umatnya mengikiskan dari hati mereka sifat tamak kepada harta dan cinta dunia.

Sesuatu kebajikan janganlah ditangguhkan kerana kesudahan perjalanan di dunia tidak diketahui. Walaupun kita mempunyai kesihatan yang baik, tidak sepatutnya leka dengan keadaan yang selesa. Kesenangan harta juga tidak berkekalan. Dalam ruang kekayaan yang ada, mestilah direbut segala pahala yang dijanjikan Allah.

Harta diciptakan Allah supaya menusia memanfaatkannya dalam menjalani tugas sebagai hamba-Nya dan khalifah di bumi ini.

Harta dijadikan untuk dibelanjakan pada jalannya. Setiap manusia mempunyai keperluan yang tidak berada pada satu peringkat sebagaimana harta yang ada pada setiap orang tidak sama. Melalui kerjasama dalam bentuk infaq seperti sedekah dan zakat jurang ketidaksamaan itu dapat didekatkan.

Kebakhilan dengan harta boleh membinasakan diri begitu juga sikap boros dan membazir. Yang terbaik adalah bersederhana. Allah s.a.w. berfirman:

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (al-Isra’: 29)

Sifat bakhil dilarang kerana ia menyekat harta daripada memainkan peranannya iaitu memenuhi keperluan manusia. Sementara boros dilarang kerana ia adalah satu bentuk penggunaan harta yang tidak bermatlamat.

Firman Allah

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Sekarang ini jika kita mau harta yg kita ada ini bermanafaat apalah salah kita sedekah lebihan dari yg kita ada utk org susah? kerana jika bersedekah utk org yg didalam kesusahan itu balasanya dari Allah dgn berlipat lipat ganda, org pemurah dia tidak miskin, tp org kaya yg bakhil dia akan rasa susah hati kerana dia takut harta akan habis.

No comments:

Post a Comment